Scroll to Top

“Kugiran Masdo” kembali dengan rilisan terbarunya, “Inilah Jalannya”.

By Fransiscus Eko / Published on Friday, 13 Jan 2023 20:05 PM / No Comments / 230 views

Cadaazz.com – Sejak kemunculan mereka perdana pada tahun 2016 melanjutkan lagu hits mereka berjudul ‘Bunga’, percaturan Kugiran Masdo tidak pernah gagal  dalam mempertaruhkan lagu berasaskan musik pop klasik era 1960-an yang digubah mengikut citarasa masa kini.

Taruhan mereka ternyata menjadi apabila lagu-lagu hits mereka seperti ‘Dinda’, ‘Janji Manis’ dan ‘Teruna Dan Dara’ berjaya menjadi fenomena dan viral di media sosial sehingga ke negara jiran, Indonesia.

Kejayaan mencipta fenomena sebegini telah memungkinkan Kugiran Masdo untuk melebarkan sayapnya dan terbang lebih jauh dalam menakluki persada musik di rantau Nusantara ini sehingga pernah diundang ke Indonesia untuk menjayakan persembahan di tiga lokasi iaitu Jakarta, Bekasi dan Bandung. Malah kumpulan musik yang beranggota 4 anak muda ini telah menutup kalendar seni mereka pada tahun 2022 dengan cemerlang apabila bergabung dengan band ternama Indonesia, The Changcuters dalam menjayakan konser Kugiran Masdo x The Changcuters di Zepp Kuala Lumpur pada 29 Disember yang lalu.

Kini untuk meneruskan lagi momentum kejayaan mereka, Kugiran Masdo kembali dengan melancarkan lagu terbaharu mereka yang berjudul ‘INILAH JALANNYA’ sebagai pembuka lembaran seni mereka di tahun 2023.

‘INILAH JALANNYA’ merupakan ciptaan sepenuhnya oleh penyanyi dan komposer tersohor Noh Salleh. Lagu yang sarat dengan estetika muzik retro ini, menceritakan tentang detik-detik manis percintaan yang tidak dapat diungkap dengan kata-kata tetapi diluahkan hanya dengan berbalas pandangan dan senyuman dengan seseorang yang diminati.

Mengulas tentang lagu ini, Ali Sariah sebagai vokalis Kugiran Masdo ini berkata, “Kami berasa sangat bertuah kerana berjaya mendapatkan lagu ciptaan Noh Salleh ini. Beliau memang pakar dalam mencipta melodi dan senikata yang menangkap telinga.

Sejak kami perdengarkan lagu ini kepada peminat dalam konsert di Zepp KL tempohari, peminat telah memberikan sambutan yang hangat dan tidak sabar menantikan lagu ini dilancarkan secara rasmi.”

Ali turut menyifatkan kerjasama yang terjalin antara kumpulan ini dengan Warner Music Malaysia dan Warner Music Indonesia mampu menaikkan lagi portfolio muzik mereka, “Ini merupakan single pertama dari tiga buah lagu yang bakal diterbitkan dalam kerjasama ini.

Kami percaya kerjasama dengan Warner Music Malaysia dan Warner Music Indonesia ini mampu membawa kami ke aras yang lebih tinggi dan membuka peluang lebih besar untuk kami di masa akan datang.”

Single ‘INILAH JALANNYA’ terbitan Warner Music Malaysia ini boleh didapati di kesemua platform digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 13 JANUARI 2023 manakala video muzik rasmi ‘INILAH JALANNYA’ boleh ditonton di saluran YouTube MASDO bermula 13 JANUARI 2023 jam 9 malam. (SPR)

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

UA-131866695-1